" Tinta dan kalam ini bukan hanya untuk dikongsi sebagai tatapan dan perkongsian antara sahabat buat sahabat, tetapi tinta ini tumpahan hati buat hati yang ingin mencari kebesaran dan cinta Illahi. Setiap dari segmen hidup kita tersirat cinta dan kasih sayang Allah. Pandanglah dengan mata hati, bukan akal, mata dan nafsu semata. Fikir dan zikir "

Thursday, February 25, 2016

Kekuatan Mujahadah Perlu Dibina

Baru sahaja Munirah Muslehah berkongsi cerita mengenai seorang sahabat yang enam tahun berperang dengan mujahadah hati menyukai mana-mana lelaki, akhirnya dia kalah dalan pertembungan itu lantas menguasai hidupnya sehari-hari.

"Betul Irah, payah benar membina benteng itu. Kadang payah menjaga iman, perlu kekuatan mujahadah. Kadang yang datang itu bukan yang sempurna di telinga, tetapi sempurna pada mesranya kata-kata, sempurna pada setiap peduli yang membohongi mata. Sukar mencari yang serius. Yang ada menjengah pun mungkin yang hanya mahu mengisi masa lapang mereka. Hanya Iman yang menjadi peneman. Mahu diturutkan atau dibiar sahaja"


Bila habis baca perkongsian Munirah Muslehah,teringat pula Nureen akan topik mujahadah yang dibacanya minggu lepas.

Imam Al-Ghazali ada menyebutkan :
"Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin"

"Inilah dia mujahadah Irah. Dalam buku Soalnya Hati karangan Ustaz Pahrol ada menyebutkan, topik mujahadah dan kesannya ini semakin tidak dibincangkan. Mungkin dek kerana kesibukan ummat yang sudah terumbang ambing dalam gelora dunia"

"Nureen, macam mana nak konsisten dalam mujahadah?" tanya Irah.

"Irah, ada tiga kategori orang yang bermujahadah ni. Pertama, dia yang mudah kalah. Mereka ini ialah orang yang sudah dikerumuni hawa nafsu sehingga sukar baginya melawan segala mehnah dan payah. Kedua, golongan yang sentiasa bekerja serta berperang untuk meruntuhkan hawa nafsunya. Mereka ini sedang bekerja untuk meruntuhkan tembok kezaliman yang menganggu keteguhan imannya saban waktu. Dan yang terakhir, Golongan yang telah menang, iaitu golongan yang telah berjaya menguasai hawa nafsunya daripada merajai iman mereka" 

"Allah Nureen, jauh dan tinggi manakah mujahadah kita?. Moga kita dalam golongan yang kedua dan menjadi golongan yang ketiga itu Nureen" Irah berseloroh tanpa riak.

"Dalam nak meruntuhkan hawa nafsu kita perlukan konsistensi dalam beberapa perkara. Perkara ini tidak boleh di ambil sambil lewa dan buat ikut mood sahaja. Nafsu itu umpama binatang buas. Apa yang menjadi makanannya perlu disekat dan yang menjadi penenangnya perlu diberikan".

"Amatlah benar Rasulullah s.a.w menganjurkan kita berpuasa. Salah satu punca memuncaknya hawa nafsu adalah perut. Selain itu, pandangan mata juga harus ditundukkan, telinga perlu dibataskan dengan perkara yang baik-baik, mulut perlu ditahan dari berkata yang tidak membawa kesan pada diri dan orang lain dan hati perlu sentiasa dijaga dari dimamah sang sifat mazmumah"

Termusahabah Nureen sewaktu membaca yang perut itu adalah makanan besar juga pada nafsu. Tunduk dan akur. Patutlah kenyang itu memungkinkan diri Nureen untuk bermalas-malasan. Kenyang dan akhirnya mengantuk, dan terus tidak berdaya melakukan apa-apa perkara melainkan baring dan membuka komputer riba. Kadang-kadang sehingga tertidur dek sibuk ziarah alam maya yang kononnya satu pahala, sedangkan solat jadi lewat, al-quran baca jadi singkat....

"Selain menyekat nafsu dari terus memamah iman kita, nafsu itu perlu terus dilemahkan dan dibebankan dengan ibadah. tidak kiralah solat, zikir mahupun ibadah yang lain-lainnya. Jangan lepas Allah dari hati kita. Cuba dan terus cuba. Bukankah kita mahu jadi golongan kedua dan ketiga seperti yang Nureen cerita tadi"

"Akhir sekali, serahkan kepada Allah semuanya. Banyakkan berdoa dan terus berdoa" pinta Nureen Ibtisam dengan senyuman.

"Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk memperbaiki ibadah kepada-Mu. Ya Allah Ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah seaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku..." Doa mereka berdua sebelum perbualan mereka ditamatkan. 


Pena Khatibatun Nisa'
9.40 AM
Batu Caves, Selangor.

1 comment:

  1. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete